Bayi Menderita Penyakit 'Hydrocephalus' Memerlukan Bantuan Kewangan


Hydrocephalus

Teluk Intan: Berat mata memandang tidak seberat derita ditanggung bayi perempuan berusia tidak sampai sebulan yang menderita penyakit 'hydrocephalus' iaitu lebihan cecair dalam kepala menyebabkan kepalanya kian membesar dan kini sudah mencapai 56 sentimeter (sm).
Bayi malang berusia 27 hari itu turut disahkan menghidap penyakit Spina Bifida yang menyebabkan masalah tumbesaran tulang belakang dan saraf tunjang ketika dilahirkan pada 5 Oktober lalu.
Menurut ibunya Siti Norjamilah Ewan, 25, perubahan saiz kepala Nor Insyirah Sadli dikesan ketika kandungannya berusia tujuh bulan dan dia dilahirkan melalui pembedahan dengan saiz kepala 54 sm, lebih besar berbanding kepala bayi normal.
"Kepala anak saya membesar sedikit demi sedikit. Sebagai ibu, saya sedih melihat keadaannya saya namun apakan daya, ini semua ujian Allah SWT dan kami sekeluarga perlu tabah menghadapinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Lampam Kiri dekat sini, hari ini.
Berita mengenai bayi kepala besar itu yang tersebar di media sosial, turut mendapat perhatian beberapa badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat setempat dan orang ramai.
Siti Norjamilah berkata, pihak hospital tidak mencadangkan anak bongsu daripada empat beradik itu menjalani pembedahan kerana berisiko tinggi dan peratusan untuk sembuh agak tipis.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, mereka sekeluarga menghadapi masalah kesempitan wang kerana suaminya Sadli Jalani, 45, kini sudah tidak dapat bekerja akibat radang mata sejak tiga tahun lalu.
Mata kanan suaminya kini sudah tidak berfungsi manakala penglihatan kiri semakin kabur yang membataskan pergerakannya untuk bekerja.
"Kami terpaksa bergantung bantuan kewangan daripada Baitulmal yang digunakan untuk membayar bil elektrik, air serta menanggung tiga lagi anak berusia antara dua hingga tujuh tahun," katanya.
Orang ramai yang mahu membantu keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Sadli (08230-41-00005723-7) atau menghubunginya di talian 016-4093158 atau akaun Maybank Siti Norjamilah (1583-9612-3298).

Sumber: hmetro
loading...

0 Response to "Bayi Menderita Penyakit 'Hydrocephalus' Memerlukan Bantuan Kewangan"

Post a Comment

My Ping in TotalPing.com